Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengagihkan peruntukan penyelenggaraan sekolah dalam Belanjawan 2021 mengikut formula yang mengambil kira bilangan dan kategori sekolah sama ada sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin berkata, formula itu bagi memastikan pengagihan dapat dibuat secara lebih menyeluruh dengan peruntukan RM620 juta khusus untuk menyelenggara sekolah di bawah kementerian.

Menurutnya, sebelum ini, ketika sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan, KPM memohon supaya diberi tanggungjawab untuk menentukan agihan peruntukan penyelenggaraan sekolah dan institusi pendidikan di bawah pengendalian kementerian.

"Ini bagi memastikan pengagihan dapat dibuat secara lebih menyeluruh dengan mengambil kira bilangan dan jenis sekolah.

"Sehingga kini, terdapat 10,223 sekolah di bawah pengendalian KPM terdiri daripada 8,293 sekolah kerajaan dan 1,930 sekolah bantuan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Auditorium Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Persiaran Bukit Kiara di sini, hari ini.

Radzi berkata, dalam menggunakan formula itu, siling peruntukan bagi jenis sekolah adalah RM477.48 juta.

Ia bagi Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) berstatus sekolah kerajaan, termasuk Sekolah Berasrama Penuh dan Kolej Vokasional manakala RM1.2 juta bagi SK dan SMK berstatus sekolah bantuan kerajaan.

"Sementara RM74.07 juta untuk SJKC kerajaan dan bantuan kerajaan, SJKT kerajaan dan bantuan kerajaan sebanyak RM29.98 juta, sekolah mubaligh kerajaan dan bantuan kerajaan pula sebanyak RM20.94 juta.

"Selain itu, sekolah conforming (SMJK) kerajaan dan bantuan kerajaan akan menerima RM4.11 juta manakala sekolah agama bantuan kerajaan RM12.23 juta," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan formula itu, jenis sekolah yang banyak akan mendapat peruntukan lebih besar.

SIDANG media khas, Menteri Pendidikan Dr. Radzi Jidin, berhubung peruntukan penyelenggaran sekolah di bawah Belanjawan 2021 di Auditorium Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan. FOTO Saifullizan Tamadi
SIDANG media khas, Menteri Pendidikan Dr. Radzi Jidin, berhubung peruntukan penyelenggaran sekolah di bawah Belanjawan 2021 di Auditorium Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan. FOTO Saifullizan Tamadi

"Bagaimanapun, bagi jenis sekolah yang peruntukan silingnya adalah RM30 juta dan ke bawah, masih ada peruntukan tambahan kritikal sebanyak RM30 juta.

"Ia dikhususkan bagi menampung mana-mana keperluan penyelenggaraan kritikal untuk sekolah terbabit," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau juga berharap belanjawan ini akan diluluskan kerana jika tidak, ia akan memberi kesan kepada anak-anak.

"Kita doakan ia diluluskan kerana dapat disegerakan selenggara apabila sekolah dibuka tahun depan dan memberi keselesaan kepada anak-anak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 5:36 PM