KAWASAN di Sik yang ditenggelami air  berikutan hujan lebat menyebabkan banjir kilat berlaku. FOTO Ihsan APM
KAWASAN di Sik yang ditenggelami air berikutan hujan lebat menyebabkan banjir kilat berlaku. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Alor Setar: Sebanyak 568 kawasan di 11 daerah negeri ini dikesan berisiko mengalami banjir ketika tempoh monsun timur laut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, ia membabitkan 149 kawasan di Kubang Pasu, Baling (97), Pendang (85), Langkawi (43), Sik (33), Yan (27) dan Kulim (24) selain Kota Setar (23), Padang Terap (22), Kuala Muda (37), Bandar Baharu (22) serta enam di Pokok Sena.

"Semua pegawai dan anggota kini bersiap-sedia menghadapi banjir berikutan perubahan monsun timur laut yang boleh menyebabkan hujan lebat dan banjir.

"Aset kita iaitu 32 bot aluminium, sebuah bot gentian kaca, dua bot kevlar, enam jet ski dan sebuah bot penyelamatan sedia apabila tiba masanya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Jitra dan Langkawi juga akan digerakkan jika memerlukan.

"Setakat ini cuti anggota dan pegawai belum dibekukan lagi, namun hanya sebilangan kecil dibenarkan bercuti sekiranya mempunyai urusan penting.

"Orang ramai yang tinggal di kawasan rendah juga dinasihati bersiap sedia untuk pindah jika kediaman dimasuki air," katanya.

Kelmarin, banjir kilat dilapor melanda Sik, Bukit Kayu Hitam dan Pokok Sena, namun pulih sepenuhnya hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 4:55 PM