Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan yang berakhir 6 Disember ini mungkin akan disambung sekiranya kes Covid-19 di negeri itu terus meningkat.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tempoh dua minggu bermula Sabtu lalu yang diperuntukkan untuk perintah itu akan dinilai dan menjadi penentu sama ada PKPB wajar ditamatkan atau bersambung.

"Ada kenyataan daripada pakar yang mengatakan kemungkinan jangkitan Covid-19 di Kelantan menjadi seperti Sabah, memandangkan sifat penduduk negeri ini yang suka bersosial.

"Jadi, kita meminta penduduk Kelantan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian Covid-19.

"Kita juga berharap pelaksanaan PKPB ini mampu menurunkan kes dengan mengehadkan perjalanan bagi mengelak berlaku penularan seperti di Sabah," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Mohd Amar berkata, kesedaran orang ramai sangat penting bagi mengurangkan penularan dalam komuniti selepas Kelantan ketika ini mempunyai dua kluster.

"Kita tengok dalam masa dua minggu, jika masih tinggi terpaksa PKPB disambung atau ambil langkah drastik lain.

"Agak sukar sekarang kerana mereka yang positif (Covid-19) tidak bergejala, (dan) pergerakan mereka tidak terkawal. Namun apabila jalani ujian calitan, rupanya mereka positif," katanya.

POLIS melakukan sekatan jalan raya di Tumpat susulan PKPB yang berkuat kuasa Sabtu lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
POLIS melakukan sekatan jalan raya di Tumpat susulan PKPB yang berkuat kuasa Sabtu lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 3:02 PM