Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Polis Johor akan mengambil tindakan terhadap pihak atau individu yang memfitnah dengan membuat kenyataan sehingga menimbulkan kegusaran, sekali gus mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya mendapati ada satu video yang dimuat naik seorang lelaki dikenali K Haridas, menerusi laman Facebook Defend People's Rights Group didakwa berniat mencabar integriti beliau serta Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Katanya, individu terbabit mendakwa KPN tidak berintegriti serta menuduh beliau menggunakan agama untuk mencari nama.

"Kita sebagai rakyat Malaysia berpegang teguh pada rukun negara dan saya yakin rakyat negara ini ada pegangan agama. Walaupun berbeza akidah, tapi nilai-nilai murni itu tetap sama.

"Kritikan pada saya itu biasa, tidak ada masalah tetapi jangan buat fitnah dengan membuat kenyataan yang boleh timbulkan kegusaran. Itu saya tidak boleh terima dan akan ambil tindakan," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 17 minit 39 saat dimuat naik di Facebook badan bukan kerajaan (NGO) itu pada 20 November lalu (Jumaat), mendapat tontonan sebanyak 200,000 kali dan dikongsi oleh lebih 1,000 pemilik laman sosial itu.

Ayob Khan berkata, lelaki terbabit pernah menuduh polis bagi kes yang tidak wujud dengan mendakwa tidak mengambil tindakan terhadap laporannya, bagaimanapun dakwaan itu tidak benar kerana pihaknya sudah memanggil lelaki itu untuk memberi keterangan pada 18 Mac lalu, namun individu berkenaan tidak hadir.

Katanya, individu yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, itu mempunyai kaitan dengan NGO yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) juga pernah dipenjara dua kali atas kesalahan berkaitan jenayah.

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
AYOB KHAN MYDIN PITCHAY

"Sebanyak 10 laporan polis terhadapnya yang dibuat di IPK Selangor, Negeri Sembilan dan Johor. Antara kes yang disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Hasutan, Seksyen 90 Akta Polis kacau ganggu di balai polis, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 324 Kanun Keseksaan pukul dengan senjata dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

"Kita sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina serta menggugat ketenteraman awam dan akan 'menjemput' lelaki berkenaan dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 2:33 PM