Norzamira Che Noh

Shah Alam: Selangor terus merekodkan peningkatan mendadak dalam kes jangkitan baharu Covid-19 apabila 603 kes dicatatkan sehingga 12 tengah hari semalam.

Jumlah berkenaan yang tertinggi pernah direkodkan negeri ini selepas 407 kes pada Khamis lalu dan 402 kes, kelmarin.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di Twitter memaklumkan Kluster Teratai adalah penyumbang besar kepada jumlah kes baharu direkodkan semalam iaitu 504 kes.

"Hari ini, Selangor terus catat kes baharu tinggi iaitu 603 kes dan 178 pesakit discaj dari hospital. Kluster Teratai adalah penyumbang terbesar iaitu 504 kes.

"Esok (hari ini) Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor akan bersidang untuk teliti beberapa langkah bagi menangani perkembangan kes baharu yang meningkat," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Dalam pada itu, berdasarkan perkongsian maklumat Pasukan Petugas Pencegahan COVID-19 Selangor (STFC) di Facebook, 536 kes baharu berpunca daripada kluster sedia ada termasuk 504 kes membabitkan Kluster Teratai.

Sebanyak 27 kes lagi adalah saringan kontak rapat, 39 lain-lain saringan dan satu kes import turut direkodkan semalam.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan kes aktif terkumpul di Selangor adalah 2,634 dan secara keseluruhan 9,752 kes jangkitan Covid-19 direkodkan sejak pandemik berkenaan menular dalam negara.

Daerah Klang terus merekodkan kes aktif tertinggi iaitu 1,646 kes, diikuti Hulu Langat (418) Petaling (268); Sepang (129); Kuala Langat (81); Gombak (66); Hulu Selangor (9); Kuala Selangor (8) manakala Sabak Bernam bebas daripada kes aktif.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 10:39 AM