Anggota Bomba dan Polis menolak pesawat ringan yang mendarat cemas untuk dialihkan ke tempat lapang di Kilometer 47.8 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan. FOTO OMAR AHMAD
Anggota Bomba dan Polis menolak pesawat ringan yang mendarat cemas untuk dialihkan ke tempat lapang di Kilometer 47.8 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Kulai: Kerosakan enjin menjadi punca pesawat ringan jenis Beechcraft Bonanza N5045B mendarat cemas di Kilometer 47.8 Lebuhraya PLUS arah selatan di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, berkata, pesawat persendirian itu diterbangkan pemiliknya Dr. Yang Kuang Ying, 52, bersama pembantu Saleehullah Abdul Majid, 41, kedua-duanya warga Singapura.

Katanya, mereka dalam rekod penerbangan rutin bagi melengkapkan jam penerbangan dari Lapangan Terbang Seletar, Singapura ke Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka.

Katanya, pesawat membuat pendaratan cemas pada jam 11.05 pagi ketika dalam pusingan kedua menuju Singapura

"Hasil siasatan juruterbang mempunyai kebenaran (tidak perlu mendapatkan surat rentas negara atau negeri) untuk membuat penerbangan bagi mendapatkan jam penerbangan rutin.

"Mereka bukan dalam latihan. Juruterbang ini adalah profesional serta berpengalaman selama 12 tahun dalam penerbangan serta mempunyai 480 jam penerbangan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah Kulai di sini, hari ini.

Beng Yeow berkata, pesawat itu berjaya membuat satu pusingan penerbangan dari Singapura ke Melaka, awal pagi tadi dan dalam pusingan kedua, mereka terpaksa mendarat cemas ketika berada di ketinggian 5,000 kaki di udara selepas juruterbang mendapati enjin kehilangan kuasa.

"Juruterbang kemudian cuba tukar tangki minyak tetapi enjin pesawat tidak berfungsi dan tekanan minyak menurun dengan pantas.

"Mereka terpaksa membuat pendaratan cemas di lokasi kejadian dan kedua-dua juruterbang selamat tanpa sebarang kecederaan," katanya.

Menurut Beng Yeow, kes diserahkan kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk jalankan siasatan lanjut.

Dalam pada itu katanya, insiden itu bagaimanapun tidak menyebabkan kesesakan di lebuh raya berkenaan.

Sementara itu, percubaan wartawan untuk mendapatkan reaksi daripada kedua-dua juruterbang terbabit tidak berhasil apabila mereka menolak untuk ditemubual.

Berita berkaitan

Pesawat mendarat cemas atas lebuh raya [METROTV]

2 juruterbang selamat, pesawat alami kerosakan enjin

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 3:07 PM