TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO NSTP
TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu bersatu padu dalam menangani pandemik Covid-19 bagi membolehkan seluruh dunia mendapat akses kepada vaksin dan teknologi kesihatan yang berpatutan dengan cara mudah dan adil.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pandemik Covid-19 diakui mencetuskan kesan berpanjangan terhadap cara negara memacu usaha perdagangan dan memberi keutamaan ekonomi dalam kalangan negara anggota APEC.

"Hari ini, dalam kita merencana kerjasama untuk menangani impak Covid-19, kewujudan APEC menjadi semakin relevan.

"Tatkala merintis usaha penyelesaian bagi mengimbangi kepentingan ekonomi dan kesihatan rakyat, kita diingatkan untuk mengetepikan perbezaan.

"Sebaliknya, cari titik persamaan di antara kita kerana faktor sedemikian bakal menjadi resepi utama yang mampu menyelamatkan manusia ketika dilanda malapetaka.

"Sehubungan itu, kita perlu memastikan setiap orang menerima capaian kepada vaksin dan teknologi kesihatan yang mampu milik serta berasaskan prinsip kesaksamaan," katanya dalam ucaptama pembukaan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) 2020, yang berlangsung secara maya, di sini, malam ini.

Selari tema APEC 2020 iaitu Mengoptimumkan Potensi Insan Ke Arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran, Muhyiddin berkata, ia menjadi peringatan kepada negara anggota bahawa sebarang usaha yang dilakukan perlu menyumbang kepada kemakmuran rakyat.

Beliau berkata, tema itu wajar diterjemahkan kepada tekad negara anggota APEC untuk menggembleng tenaga dalam memerangi penularan pandemik Covid-19 yang sehingga kini menyaksikan struktur ekonomi global menjadi 'lumpuh' angkara krisis kesihatan berkenaan.

"Semua negara anggota juga perlu menerapkan agenda kemakmuran bersama, supaya setiap lapisan masyarakat dapat merasai kesan limpahan pertumbuhan ekonomi serantau.

"Pendekatan kemakmuran bersama yang sudah dilaksanakan negara ini, mampu menangani kepincangan aspek agihan kekayaan supaya lebih saksama kerana perdagangan dan pelaburan selama ini menjadi pemangkin ke arah pertumbuhan ekonomi dan pengembangan kemakmuran di rantau Asia Pasifik.

"Bagaimanapun, wujud kebimbangan yang semakin meruncing apabila segelintir segmen masyarakat di rantau ini, masih tidak menerima 'limpahan' kekayaan daripada kedua-dua faktor ekonomi berkenaan.

"Berdasarkan pandangan Malaysia, ini berupaya ditangani menerusi agenda kemakmuran bersama yang mana ia adalah usaha penjajaran semula pembangunan ekonomi dan kemakmuran, bagi memastikan setiap lapisan masyarakat dapat terbabit secara langsung dalam rangkaian aktiviti ekonomi," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, jumlah dagangan antara ekonomi negara gabungan itu dengan dunia kini melonjak lebih empat kali ganda, sejak perjanjian Matlamat Bogor dimeterai pada 1994.

Hanya dalam tempoh 26 tahun, beliau berkata, APEC kini mewakili hampir 50 peratus daripada keseluruhan jumlah dagangan dunia, sekali gus mencerminkan tahap perpaduan 21 negara anggota.

"Bersandarkan prinsip perpaduan itu, lebih dua pertiga daripada peratusan dagangan itu dilaksanakan sesama negara anggota APEC. Begitu juga dengan aspek pelaburan apabila aliran masuk modal ke dalam ekonomi APEC meningkat pada kadar dua pertiga, manakala aliran keluar modal melonjak tiga kali ganda.

"Kita sekarang ini mewakili separuh daripada keseluruhan penerima 10 pelaburan langsung asing (FDI) terkemuka dunia," katanya.

Ditubuhkan pada tahun 1989, APEC adalah forum ekonomi serantau yang memanfaatkan kebergantungan antara Asia - Pasifik dengan 21 anggotanya bertujuan untuk mewujudkan kesejahteraan yang lebih besar bagi rakyat rantau ini.

Ia mempromosikan pertumbuhan yang seimbang, inklusif, lestari, inovatif dan selamat serta mempercepat penyatuan ekonomi serantau.

Anggota APEC terdiri daripada Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, China, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taiwan, Thailand dan Amerika Syarikat.

Tahun ini, Malaysia menjadi tuan rumah APEC, kali kedua penganjuran di Malaysia selepas tahun 1998.

Tahun ini juga Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila menjadi ekonomi pertama yang menganjurkan APEC secara maya sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 9:35 PM