GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 422,609 peminjam atau 28.17 peratus daripada 1.5 juta keseluruhan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan bayaran balik pinjaman mereka, mulai Oktober lalu.

PTPTN dalam kenyataan memaklumkan kutipan bayaran balik yang diterima adalah sebanyak RM103.03 juta menunjukkan peningkatan sebanyak 173.65 peratus berbanding RM37.65 juta pada April lalu.

"Ini menunjukkan peminjam PTPTN masih terus berusaha membuat bayaran balik pinjaman walaupun berada dalam keadaan yang sukar akibat pandemik Covid-19.

"Tindakan sebegini seharusnya menjadi ikutan kepada peminjam lain yang berkemampuan dan tidak terjejas," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, atas dasar keprihatinan, kerajaan sebelum ini bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman selama tiga bulan lagi, mulai Oktober hingga Disember depan.

Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN ini sudah memberi manfaat kepada 1.5 juta peminjam dengan jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik pinjaman berjumlah RM1.13 bilion bermula Mac hingga Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 3:07 PM