EMPAT suspek termasuk seorang wanita di bawa ke Mahkamah Majistret Selayang 16 November lalu bagi lanjutan tahanan reman berhubung kes pencemaran Sungai Selangor. FOTO Saifullizan Tamadi
EMPAT suspek termasuk seorang wanita di bawa ke Mahkamah Majistret Selayang 16 November lalu bagi lanjutan tahanan reman berhubung kes pencemaran Sungai Selangor. FOTO Saifullizan Tamadi
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Gombak: Pengarah syarikat yang ditahan untuk membantu siasatan polis berhubung pencemaran Sungai Selangor disambung reman selama tiga hari lagi sehingga 23 November ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai berkata, suspek yang tamat reman hari ini akan disambung reman selama tiga hari bagi meneruskan siasatan kes berkenaan.

Suspek berusia 58 tahun itu dikenal pasti sebagai pengarah syarikat yang membekalkan bahan kimia ditahan di Pusat Perindustrian Tengas, Ulu Yam, Hulu Selangor kira-kira jam 6.30 petang, 12 November lalu.

Lelaki itu kemudian direman selama tujuh hari sejak 13 November lalu mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Suspek dipercayai menjual sisa-sisa bahan buangan kimia berjadual yang dijumpai di Taman Velox itu kepada seorang suspek daripada empat tangkapan pertama.

Lelaki berkenaan adalah suspek kelima yang ditahan secara berasingan dalam kes pencemaran sungai Selangor yang memaksa Loji Rawatan Air Indah Water Konsortium Rantau Panjang di Taman Velox, Rawang ditutup.

Arifai sebelum ini mendedahkan siasatan polis ke atas sebuah premis yang terletak 300 meter dari LRA Taman Velox berjaya menemui 40 tong cecair kimia seberat 40,000 liter yang disyaki disimpan untuk dilupuskan menggunakan lubang kumbahan premis yang disewa wanita itu dengan wang pendahuluan RM3800.

Pada 11 November lalu, Ketua Jabatan Sisatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat dipetik berkata, empat suspek termasuk seorang wanita India Muslim direman selepas polis berjaya menemui premis di Taman Velox dijadikan setor menyimpan bahan kimia berjadual untuk dilupuskan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 10:28 AM