Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Hospital Tumpat kini hanya menerima kemasukan kes Covid-19 sahaja mulai semalam, sebagai kesiapsiagaan untuk menghadapi sekiranya berlaku peningkatan kes di Kelantan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, susulan itu hospital berkenaan tidak menerima kemasukan kes lain.

"Pendekatan itu sebahagian daripada kesiapsiagaan untuk menghadapi peningkatan kes Covid-19, sekiranya ia berlaku.

"Hospital berkenaan hanya menerima kes Covid-19 sahaja sehingga wabak berkenaan rendah atau trend menurun.

"Justeru, masyarakat di Tumpat diminta ke hospital berdekatan di daerah lain untuk menerima rawatan," katanya ketika dihubungi.

HOSPITAL Tumpat tidak lagi menerima kemasukan kes selain Covid-19 bermula malam tadi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
HOSPITAL Tumpat tidak lagi menerima kemasukan kes selain Covid-19 bermula malam tadi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Terdahulu, tular di media sosial mengatakan Hospital Tumpat tidak menerima kemasukan kes lain, melainkan Covid-19 sahaja, mulai malam tadi.

Sementara itu, Pengarah Hospital Tumpat, Dr Aminah Rusmin Ghazali berkata, sejak Mac lalu, Hospital Tumpat digazet Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai hospital khusus menempatkan pesakit Covid-19.

"Cuma apabila kes berkurangan pada Jun lalu, kita terima semula untuk kes lain.

"Apabila kes meningkat, kita tutup semula bermula semalam dan hanya menerima kes Covid-19 sahaja buat masa ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 3:20 PM