GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Asrol Awang


Kuantan: Sebanyak 2,620 kes demam denggi dilaporkan di Pahang iaitu peningkatan 668 kes atau 34 peratus bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September lalu berbanding 1,952 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, lima daerah merekodkan peningkatan kes iaitu Kuantan, Lipis, Pekan, Rompin dan Maran.

Beliau berkata, di daerah Kuantan sahaja merekodkan 1,804 kes iaitu jumlah tertinggi berbanding di daerah lain.

"Walaupun peningkatan kes demam denggi tinggi, Pahang berada pada kedudukan pertengahan berbanding negeri lain.

"Bagi tempoh berkenaan, tujuh kematian dilaporkan akibat denggi berbanding lapan kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

"Lima kematian direkodkan di Kuantan manakala dua kes kematian di Lipis," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Leong Yu Man (DAP-Triang) yang meminta kerajaan negeri menyenaraikan jumlah kes denggi di daerah Bera pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Menjawab soalan tambahan mengenai langkah kerajaan menangani kes denggi, Norol Azali berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) negeri melakukan semburan kabus di 236,000 premis sepanjang tempoh itu.

Beliau berkata, sebanyak 298 aktiviti gotong-royong dilaksanakan yang membabitkan 8,192 penduduk.

Menurutnya, aktiviti itu tidak termasuk kakitangan agensi kerajaan yang turut sama menghapuskan kawasan pembiakan jentik-jentik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 2:15 PM