Zaid Salim


Kuala Terengganu: Fenomena air pasang besar menyebabkan beberapa rumah di Kampung Losong Haji Mohd dan Losong Haji Su, di sini, sekali lagi dinaiki air selepas keadaan sama berlaku semalam.

Tinjauan mendapati air mula naik di kawasan rumah penduduk terutama yang tinggal berhampiran sungai bermula jam 10.30 malam dan surut sekitar jam 3 pagi tadi.

Warga emas, Zah Muda, 61, berkata, setiap kali tiba musim tengkujuh, dia tidak tidur lena kerana bimbang air naik terutama ketika air pasang besar.

"Makcik pernah terperangkap dalam banjir akibat fenomena air pasang besar ini pada 2014.

"Ketika itu air naik dengan mendadak dan makcik terpaksa mendapatkan bantuan pihak keselamatan untuk keluar sebelum dibawa ke pusat pemindahan.

"Kejadian itu menyebabkan makcik takut dan tidak boleh tidur setiap kali tiba musim tengkujuh," katanya ketika ditemui sedang melihat paras air yang menenggelami kawasan rumahnya di Kampung Losong Haji Su, di sini, malam tadi.

Dia yang sudah kematian suami mengakui perasaan takut sering menghantui fikiran setiap kali tiba musim tengkujuh namun tidak mampu berbuat apa-apa kecuali berdoa setiap kali kawasan rumah ditenggelami air.

Menurutnya, sudah lebih 30 tahun dia tinggal di kampung itu dan setiap tahun berdepan fenomena sama.

"Walaupun sudah lali dengan keadaan ini, tetapi perasaan takut tetap ada terutama bimbang kehadiran binatang berbisa seperti ular dan lipan," katanya.

Zah yang tinggal bersama anak dan seorang cucu berkata, dia pernah terfikir untuk berpindah, namun disebabkan kediaman itu satu-satunya peninggalan arwah suami menyebabkan dia terus menetap hingga kini.

"Lagipun makcik tak ada tanah dan tidak berkemampuan untuk membina rumah lain," katanya.

Fenomena air pasang besar malam tadi menyebabkan kawasan rumahnya ditenggelami air lebih satu meter.

"Malam ini mujur cuaca elok dan tidak hujan, kalau tidak sudah pasti paras akan lebih tinggi daripada semalam," katanya.

ZAH bersama anaknya, Mohammad Saiful Bahari, 43, melihat rumah mereka dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar di Kampung Losong Haji Su malam tadi. FOTO Ghazali Kori
ZAH bersama anaknya, Mohammad Saiful Bahari, 43, melihat rumah mereka dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar di Kampung Losong Haji Su malam tadi. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 10:51 AM