Laporan Harian Metro sebelum ini
Laporan Harian Metro sebelum ini
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang yang dihenti tugas berikutan pencemaran bau seakan pelarut awal malam tadi sudah beroperasi semula.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan memaklumkan LRA terbabit memulakan semula operasi pada 9.30 malam tadi selepas bacaan bau 0 TON direkodkan.

"Siasatan masih lagi dijalankan berkenaan pencemaran bau yang dilaporkan sebelum ini.

"Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Malam tadi, dilaporkan LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada 7.10 malam susulan bau dikesan pada bacaan 1 TON di muka sauknya pada 7 malam.

Kali terakhir LRA Rantau Pajang dihenti tugas ialah pada 10 November lalu bersama tiga lagi LRA iaitu LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP 1), LRA Fasa 2 (SSP 2) dan LRA Fasa 3 (SSP 3) berikutan pencemaran bau seakan-akan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor.

Tindakan henti tugas terhadap semua loji itu dilakukan berikutan pencemaran bau dikesan sekitar 8 TON di LRA Rantau Panjang.

Difahamkan, sepanjang tahun ini, LRA Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas sebanyak enam kali akibat pencemaran sungai, menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual sehingga menjejaskan 1.2 juta akaun pengguna di Lembah Klang.

Berita berkaitan

LRA Rantau Panjang henti tugas lagi...

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 11:46 PM