Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Akta dan undang-undang sedia ada sudah merangkumi serta mencukupi untuk menghukum sesiapa yang cuba mewujudkan sebarang isu khususnya berkaitan agama dan kaum.

Justeru, kerajaan tidak bercadang melaksanakan undang-undang baharu terhadap individu yang menghina, mempersenda atau memainkan isu agama.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi agensinya seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa tegas menangani isu berkenaan.

"Polis akan melakukan tangkapan dan dakwaan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan menghina, mempersendakan atau memainkan isu-isu agama berdasarkan peruntukan undang-undang sedia seperti Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Ketika ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) berpandangan undang-undang sedia ada adalah mencukupi bagi menyedarkan pesalah-pesalah yang melakukan kesalahan-kesalahan seperti ini.

"Bagaimanapun KDN dari semasa ke semasa sentiasa mengkaji perundangan itu untuk ditambah baik," katanya pada soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands), sama ada kerajaan berhasrat untuk meminda sebarang akta atau peraturan sedia ada kepada hukuman yang lebih berat terhadap mereka yang menghina, mempersenda atau memainkan isu-isu agama demi untuk kepentingan-kepentingan tertentu.

Ismail (BN-Kuala Krau) berkata, individu sengaja atau cubaan menghina dan memainkan isu perkauman, agama boleh disiasat dan didakwa mengikut tiga akta berbeza sedia ada yang dilihat berkesan dan mampu memberikan pengajaran.

PDRM, katanya, sentiasa melakukan pemantauan penyebaran maklumat dan akan mengambil tindakan segera jika terdapat elemen sensitiviti kaum dan agama menjejaskan keharmonian rakyat.

Ismail juga berkata, tiada keperluan mewujudkan akta baharu ketika menjawab soalan tambahan Ramli berhubung pandangan mewujudkan kembali Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dilaksanakan Barisan Nasional (BN) ketika menjadi kerajaan dan dimansuhkan Pakatan Harapan (PH).

"Namun kajian teliti akan dilakukan terhadap akta-akta sedia ada bagi memperkukuhkan lagi supaya dapat memberikan pengajaran sepenuhnya kepada sesiapa untuk tidak mewujudkan sensitiviti kaum dan agama di negara ini.

"Memang betul pada asalnya kerajaan PH untuk mewujudkan Akta Keharmonian Agama dan Kaum tetapi melalui Mesyuarat Kabinet pada 30 Januari 2019 kerajaan ketika itu putuskan perkara dan elemen-elemen nak disebut di bawah Akta Keharmonian Agama dan Kaum itu diserapkan kepada akta-akta sedia ada seperti Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan," katanya.

Apa pun, katanya, KDN sentiasa mendengar pandangan dan akan mengambil tindakan untuk meneliti supaya akta sedia ada dapat diperkukuhkan.

Foto hiasan
Foto hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 1:44 PM