MOHD Nor Ramzol Mohd Tafri bersama anak landak raya yang diternak di Kampung Batu 13 Tempoyang. FOTO Mohd Rafi Mamat
MOHD Nor Ramzol Mohd Tafri bersama anak landak raya yang diternak di Kampung Batu 13 Tempoyang. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Lipis: Tawaran harga mencecah RM4,000 untuk sepasang landak raya dewasa bukan jaminan untuk penternak haiwan terbabit menjualnya.

Hakikat itu diakui Mohd Nor Ramzol Mohd Tafri, 57, yang mengusahakan ternakan landak raya secara komersial sejak lebih lima tahun lalu di Kampung Batu 13, Tempoyang, di sini.

Katanya, harga anak landak raya berumur tiga bulan ialah RM3,000 sepasang dan dijangka meningkat hingga sekali ganda pada masa akan datang berikutan permintaan menggalakkan untuk tujuan diternak.

"Walaupun ditawarkan dengan harga tinggi, saya tidak terlalu ghairah untuk menjualnya. Ia mudah membiak, namun tidak mustahil berlaku perkara tidak diingini.

"Saya kini mempunyai 130 landak raya dewasa dan anak yang diternak menggunakan sistem kurungan simen. Menternak haiwan berkenaan mudah daripada segi penjagaan dan makanan," katanya yang sebelum ini turut menternak rusa.

Beliau berkata, landak betina dewasa mampu melahirkan anak dua kali setahun dan selepas berumur tiga hingga empat bulan, anak akan dipisahkan daripada ibu dan ditempatkan dalam kurungan khas.

Menurutnya, bermula dengan 12 ekor yang dibeli daripada rakan berharga RM9,000, jumlahnya terus bertambah setiap bulan kerana landak mudah membiak.

"Boleh dikatakan setiap bulan ada pihak berminat untuk membeli haiwan itu untuk diternak, namun pada masa ini saya belum berniat untuk menjualnya.

"Saya berhasrat untuk memperbesarkan lagi projek ternakan haiwan eksotik ini secara berperingkat berikutan permintaan begitu menggalakkan selain harga tinggi.

"Sokongan serta kemudahan disediakan agensi berkaitan seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menambahkan lagi semangat untuk berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 4:07 PM