KUMPULAN Keempat Kontinjen MALBATT 850-7 selamat tiba di Pangkalan Udara Subang jam 5 petang, hari ini.  FOTO Ihsan ATM
KUMPULAN Keempat Kontinjen MALBATT 850-7 selamat tiba di Pangkalan Udara Subang jam 5 petang, hari ini. FOTO Ihsan ATM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kumpulan Keempat Kontinjen MALBATT 850-7 selamat tiba di Pangkalan Udara Subang jam 5 petang, hari ini.

Bahagian Hal Ehwal Awam Markas Angkatan Bersama dalam kenyataan hari ini, memaklumkan kumpulan itu adalah kumpulan akhir daripada empat peringkat pergerakan bermula 2 Oktober lalu.

"Kumpulan itu terdiri daripada 46 pegawai dan 150 anggota lain-lain pangkat (LLP) dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), seorang pegawai dan lima anggota LLP dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang Pegawai Awam Kewangan.

"Mereka semua diaturgerakkan kembali ke tanah air selepas menamatkan penugasan dalam misi United Nation Interim Force In Lebanon (UNIFIL) selama setahun mulai 1 Oktober 2019," katanya.

Kenyataan itu memaklumkan Kontinjen MALBATT 850-7 keseluruhannya diketuai oleh Kolonel Khairul Anwar Soib yang berkekuatan seramai 850 anggota terdiri dari 80 pegawai dan 770 anggota LLP termasuk tiga pegawai dan 27 anggota dari ABDB serta seorang Pegawai Awam Kewangan Kementerian Pertahanan.

"Selepas setahun berkhidmat di bawah naungan panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), MALBATT 850-7 dengan rasminya menyerahkan tugas dan tanggungjawab diamanahkan kepada MALBATT 850-8 yang diketuai oleh Kolonel Azudin Hassan pada 14 November lalu.

"Sepanjang penugasan di Lubnan, MALBATT 850-7 mempamerkan disiplin dan mutu kerja yang cemerlang sekali gus membuktikan keupayaan serta kemampuan ATM dalam melaksanakan misi pengaman di peringkat antarabangsa.

"Kontinjen ini juga berjaya mengekalkan reputasi baik dalam kalangan masyarakat setempat dan antarabangsa," katanya.

Menurutnya, semua pegawai dan anggota yang kembali ke Malaysia menjalani pemeriksaan kesihatan serta kuarantin wajib selama 14 hari di MALBATT Village, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 7:52 PM