GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

[email protected].m

Kuala Lumpur: Seorang pekerja badan berkanun industri hiburan ditahan polis, Selasa lalu, selepas didakwa melakukan perbuatan seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki yang dihantar ke rumah pengasuh di Taman Wahyu, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kejadian itu terbongkar selepas mangsa berusia lapan tahun memaklumkan dia rasa tidak selesa ketika berada di rumah pengasuh kepada ibunya yang berumur 34 tahun, Isnin lalu.

Menurutnya, mangsa memberitahu lelaki berusia 29 tahun itu yang juga anak kepada pengasuhnya melakukan perbuatan tidak senonoh terhadapnya di dalam bilik.

"Kejadian itu berlaku sebanyak dua kali ketika mangsa berada di rumah pengasuh dan suspek meminta dia tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa.

"Malah suspek juga meminta mangsa tidak menceritakan kepada abangnya kerana suspek berkawan baik dengan abang kanak-kanak itu," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, susulan itu, ibu mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Jinjang untuk tindakan selanjutnya.

"Susulan itu, kita menahan suspek di kediamannya jam 11 pagi, Selasa lalu, bagi membantu siasatan.

"Semakan mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2020 @ 3:18 PM