GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seorang anggota polis ditahan selepas penemuan 60,500 milimiter (ml) air ketum di kediamannya di Sentul, kelmarin.

Dalam serbuan jam 4.15 petang itu, anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menahan lelaki berusia 40 tahun itu di kawasan rumahnya dan menemui botol plastik disyaki air ketum seberat 500 ml.

Menurut sumber, hasil soal siasat suspek mengaku ada menyimpan bungkusan air ketum di rumahnya dan bertindak hasil siasatan itu, polis kemudian ke kediamannya.

"Pemeriksaan lanjut di dalam rumah menemui 80 bungkusan air ketum di dalam dua tong bersama peralatan memasak daun ketum di dapur.

"Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke IPD Sentul untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Sumber berkata, suspek disyaki mengedar air ketum itu untuk pelanggan di sekitar kawasan ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Razarudin Husain mengesahkan penangkapan anggota polis terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 10:40 AM