Gambar hiasan. FOTO Bernama
Gambar hiasan. FOTO Bernama
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sejumlah 1,185 kawasan atau 93 peratus daripada 1,279 kawasan yang terbabit dengan gangguan bekalan air tidak berjadual sudah menerima bekalan air sepenuhnya sehingga 6 petang ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata, sehingga kini, masih berbaki 94 kawasan di wilayah yang terjejas berada dalam proses pemulihan.

"Setakat ini Petaling, Kuala Lumpur dan Kuala Selangor masing-masing sudah mencapai pemulihan bekalan air pada tahap 99 peratus.

"Sementara itu, Hulu Selangor dan Gombak masing-masing masing-masing pada 91 peratus dan 87 peratus, manakala Kuala Langat dan Klang/Shah Alam pula masing-masing berada pada 80 peratus dan 72 peratus," menurut kenyataan itu.

Air Selangor juga mengingatkan pengguna yang sudah menerima bekalan air agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan pelan pemulihan bekalan air berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

Menurutnya, status pemulihan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi rasmi kami iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 7:19 PM