Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my


Johor Bahru: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengeluarkan dua notis saman kepada pengikut gerakan Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) termasuk ketuanya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, notis saman pertama dihantar 14 hari lalu tidak mendapat sebarang maklum balas daripada ketiga-tiga mereka.

Katanya, susulan itu, notis kedua dihantar pada awal minggu ini, yang mana notis dikemuka secara surat berdaftar ke ibu pejabat HTM di luar Johor.

"Jika mereka ingkar, JAINJ akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam negeri terbabit untuk mengambil tindakan lanjut kepada ketiga-tiga individu berkenaan," katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan mendedahkan pihaknya mengenalpasti 45 individu yang terbabit dengan gerakan itu di negeri ini termasuk ketua mereka.

Mengulas lanjut, Tosrin berkata, JAINJ akan memerangi habis-habisan fahaman menyeleweng akidah di Johor termasuk HTM.

"Kita turut bekerjasama dengan polis untuk terus membanteras gerakan ini atau pun ajaran sesat dan menyeleweng lain bagi memastikan mereka tidak berkembang lagi pada masa depan.

"JAINJ juga mengadakan pertemuan dengan polis pada setiap minggu untuk berbincang langkah yang boleh diambil bagi berhadapan dengan gerakan sedemikian, " katanya.

Tosrin berkata, JAINJ juga tidak akan membalas sebarang kenyataan dikeluarkan pihak HTM berikutan ia bukan pertubuhan sah.

"Namun tindakan akan diambil jika terdapat pergerakan ketara membabitkan HTM seperti perhimpunan dan sebagainya.

"Penubuhan Briged ASWAJA juga dibuat bertujuan untuk menentang ajaran yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah khususnya di Johor," katanya.

TOSRIN (kanan) ketika sidang media di Johor Bahru, hari ini. FOTO Zain Ahmed.
TOSRIN (kanan) ketika sidang media di Johor Bahru, hari ini. FOTO Zain Ahmed.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 4:26 PM