GAMBAR hiasan, mangsa dipindahkan dengan bot pada musim banjir sebelum penularan Covid-19. FOTO Arkib Ihsan APM Sabah.
GAMBAR hiasan, mangsa dipindahkan dengan bot pada musim banjir sebelum penularan Covid-19. FOTO Arkib Ihsan APM Sabah.
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Hanya lima ke enam mangsa banjir akan dipindahkan dengan sebuah bot gentian kaca pada satu-satu masa, mengikut prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan Covid-19.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah penumpang dalam bot yang dihadkan itu bagi memastikan ada penjarakan fizikal, berbanding sebelum ini.

Malah katanya, misi menyelamat akan dijalankan sepenuhnya mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan kerana negara masih berdepan ancaman wabak.

"Kita melakukan latihan dan persiapan rapi mengenai penyelamatan kali ini dalam menghadapi banjir.

"Untuk itu juga jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) akan ditambah kepada 575 buah di seluruh negeri, berbanding 561 PPS, tahun lalu, selain aset," katanya ketika ditemui selepas Latihan Persediaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Menghadapi Monsun Timur Laut di Sungai Terengganu, hari ini.

Che Adam berkata, PPS khas untuk mangsa banjir yang dikuarantin juga disediakan di setiap daerah bergantung kepada keperluan dan pihaknya sudah mengenal pasti tempat yang sesuai.

"Mangsa yang berisiko sama ada menunjukkan gejala atau suhu badan tinggi, akan kita asing dan tempatkan di PPS khas ini juga," katanya.

Menurutnya, pihaknya menyediakan 51 bot, 11 kenderaan pacuan empat roda dan sembilan lori pelbagai saiz bagi melancarkan operasi menyelamat banjir, manakala kekuatan anggota adalah 416 orang.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 11:20 AM