SZE Han (kiri) melihat tempat punca pembuangan bahang buangan di lokasi sebuah kilang di Taman Velox, Rawang. FOTO Aswadi Alias
SZE Han (kiri) melihat tempat punca pembuangan bahang buangan di lokasi sebuah kilang di Taman Velox, Rawang. FOTO Aswadi Alias
Nurul Hidayah Bahaudin


Rawang: Sebanyak 17 premis terdiri daripada bengkel dan kilang dikesan tidak mempunyai permit menjalankan operasi di sekitar loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Taman Velox, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, 45 lagi premis di kawasan terbabit mempunyai lesen menjalankan operasi di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kebanyakan premis yang tiada permit adalah bengkel dan kilang yang tidak memperbaharui lesen.

"Ada juga yang mendaftar lesen perniagaan bengkel, namun menjalankan operasi perniagaan lain. Premis yang dikesan melanggar peraturan akan diarah tutup serta-merta.

"Malah, mereka juga boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 selain hukuman lebih berat mengikut akta alam sekitar.

"Ini adalah kawasan industri ringan dan kilang memang boleh beroperasi sekiranya mengikut perancangan bandar di negeri ini," katanya ketika ditemui di sebuah premis di Jalan Velox 2, di sini, hari ini.

KEADAAN tempat punca pembuangan bahang buangan di lokasi sebuah kilang di Taman Velox, Rawang. FOTO Aswadi Alias
KEADAAN tempat punca pembuangan bahang buangan di lokasi sebuah kilang di Taman Velox, Rawang. FOTO Aswadi Alias

Sze Han berkata, pihaknya bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan berkenaan bagi memastikan semua premis melupuskan bahan kimia dengan kaedah betul mengikut saranan JAS.

"Sebagai contoh, minyak hitam kenderaan yang digunakan di bengkel. Apabila minyak itu tidak digunakan, ia tidak boleh dibuang di longkang.

"Ada proses yang betul. Kos bagi melupuskan bahan kimia mungkin tinggi tetapi ia tidak boleh menjadi alasan bahan itu dibuang secara sesuka hati," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis menemui 40 tong berisi 40,000 liter bahan buangan berjadual di dalam premis berkenaan yang dikaitkan sebagai punca pencemaran Sungai Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 5:57 PM