Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak bertegas tidak akan membuka rundingan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung kuasa autonomi imigresen yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, itu antara empat perkara yang akan terus dipertahankan.

Tiga lagi perkara itu katanya, ialah hak untuk menguatkuasakan undang-undang negeri mengikut Perlembagaan Persekutuan, perlindungan sempadan negeri dan kedaulatan dasar laut, bawah tanah serta hasilnya dalam sempadan negeri ini.

"Perkara-perkara itu adalah hak dan kuasa kerajaan negeri, justeru adalah amat penting untuk ia dipertahankan dan tidak akan dibuka untuk sebarang rundingan.

"Dengan ketetapan ini jelas bahawa kita mahu tiada lagi kuasa dan hak negeri yang akan terhakis," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Juanda Jaya (GPS-Jemoreng) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Mengenai cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan frasa "Perjanjian Malaysia 1963" mengikut Perkara 1(2) atau Perkara 160 Perlembagaan, Sharifah Hasidah berkata, usul itu sudah beliau bentangkan pada persidangan DUN lalu.

Menurutnya, usul itu bagi mendapatkan pindaan komprehensif terhadap Perlembagaan Persekutuan dan ia diluluskan DUN Sarawak.

"Susulan cadangan pindaan itu sudah dikemukakan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menyemak Pelaksanaan MA63.

"Draf cadangan pindaan juga sudah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 2:33 PM