Nurul Hidayah Bahaudin


Selayang: Empat individu termasuk seorang lelaki warga Bangladesh direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pencemaran bau di loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Taman Velox, Rawang.

Dua daripada suspek termasuk seorang wanita adalah pengarah syarikat pembinaan jalan raya.

Majistret Nur Hafizah Rajuni memerintahkan semua suspek direman bermula hari ini sehingga 17 November ini.

Majistret mengeluarkan perintah reman itu mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan dilupuskan ke dalam sungai.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan empat individu termasuk seorang wanita ditahan malam tadi hingga awal pagi selepas dipercayai terbabit dengan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat dipetik berkata, pihaknya melakukan tangkapan empat suspek berkenaan di Gombak, Damansara dan Kelana Jaya, Selangor.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada tiga individu tempatan berusia 40 hingga 43 tahun, termasuk seorang wanita serta seorang lelaki warga Bangladesh, 33.

"Siasatan awal mendapati wanita berkenaan adalah penama yang didaftarkan dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menyewa premis di Rawang.

"Seorang lagi lelaki tempatan dan pekerjanya iaitu lelaki warga Bangladesh berkenaan menumpang stok bahan kimia di premis terbabit.

"Kami percaya terdapat aktiviti aktiviti membuang sisa sisa kimia ke dalam satu lubang kumbahan di premis yang disyaki terus mengalir ke kawasan tercemar," katanya.

EMPAT  individu dibawa ke mahkamah untuk direman. FOTO Aswadi Alias
EMPAT individu dibawa ke mahkamah untuk direman. FOTO Aswadi Alias

Berita berkaitan:

  • Cemarkan Sungai Selangor, empat individu ditahan
  • Pencemaran sungai: RM5,000 ganjaran kepada pemberi maklumat
  • Kerajaan Selangor mohon Pusat bantu isu pencemaran sungai
  • Polis buka kertas siasatan pencemaran bau di Sungai Selangor
  • Tindakan sabotaj mungkin punca pencemaran air [METROTV]
  • Empat LRA henti tugas akibat pencemaran bau
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 11:20 AM