KEMBAR dalam filem pendek TNB. FOTO Ihsan TNB.
KEMBAR dalam filem pendek TNB. FOTO Ihsan TNB.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Tiga hari lagi penganut Hindu bakal meraikan Deepavali, namun kali ini sambutannya berbeza berikutan penularan pandemik Covid-19.

Meskipun suasana tidak seperti dahulu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) cuba menyemai pengertian perayaan sama dan elemen kasih sayang menerusi filem pendek, Kembar Mencabar Deepavali.

Ketua Korporat Kumpulan TNB, Datuk Baderul Sham Saad berkata, filem pendek itu memaparkan mesej keutuhan kasih sayang yang mengatasi apa juga perbezaan dan perubahan zaman.

"Dalam suasana sekarang yang tidak pasti dan mencabar ini, penting bagi kita semua untuk kembali menghayati erti perayaan, iaitu mengukuhkan ikatan kekeluargaan antaranya menerusi persefahaman dan toleransi.

"Umpama air dicincang takkan putus, keperibadian berbeza tidak sepatutnya memisahkan ahli keluarga. Ikatan kekeluargaan cukup teguh untuk mencetuskan sinar kebaikan antara satu sama lain.

"Kasih sayang walau sepesat manapun zaman tidak akan hilang. Begitu jugalah peranan TNB menerangi Malaysia sebagai Penggerak Kemajuan Negara, memberikan kesejahteraan kepada rakyat sejak 71 tahun yang lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Filem berdurasi 60 saat itu berkisar kehidupan kembar seiras, Deepalakshmi dan adiknya, Poojalakshmi yang sangat berbeza karakter - mewakili dua zaman, tradisi dan moden.

Mereka sering berselisih faham dengan Deepalakshmi suka melakukan perkara serba teratur dan mengikut tradisi, manakala Poojalakshmi lebih bersahaja dan gemar sentuhan teknologi moden.

Pertembungan perbezaan itu memuncak ketika kedua-duanya sibuk menghias rumah sempena Deepavali, namun akhirnya sedar bahawa mereka bersama boleh membawa keceriaan perayaan dengan mengenepikan perbezaan untuk saling membantu dan bekerjasama.

Baderul Sham berkata, filem itu akan disiarkan mulai hari ini, secara dalam talian di saluran YouTube TNB dan stesen TV tempatan pada Jumaat.

Iklan mengenainya dikongsi di akhbar tempatan dan media sosial yang membawa penonton menjelajah rumah si kembar menerusi pengimejan maya 360 darjah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 11:01 AM