FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Amir Abd Hamid


Putrajaya: Semua guru yang mengajar di peringkat awal sistem pendidikan perlu mengetahui tahap penguasaan 3M iaitu membaca, mengira dan menulis murid mereka sebelum meneruskan sesi persekolahan tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata, ini kerana kemungkinan ada murid yang tidak dapat menguasai 3M kerana pengajaran dan pembelajaran (PdP) tidak dilakukan secara bersemuka berikutan pandemik Covid-19.

"Apabila kita buka sekolah pada 2021, guru perlulah memahami tahap mana murid sudah berada sebelum meneruskan sesi seterusnya.

"Itu adalah antara perkara yang perlu diambil kira oleh guru. Tentunya ada yang mungkin terkesan. Jadi apakah intervensi yang boleh diambil sebelum meneruskan pembelajaran," katanya dalam taklimat media berhubung Pengoperasian Institusi Pendidikan Bersama Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kebimbangan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) mengenai murid tahun satu dan tadika yang gagal menguasai 3M disebabkan tidak belajar secara bersemuka dengan guru dalam tempoh lama.

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan dilaporkan berkata, golongan di peringkat baru memasuki sistem pendidikan itu berisiko gagal menguasai literasi dan numerasi atau menguasai huruf serta nombor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 8:26 PM