Anggota polis memeriksa dokumen perjalanan pengguna jalan raya pada sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Padang Midin menghala ke Pusat bandar. FOTO GHAZALI KORI
Anggota polis memeriksa dokumen perjalanan pengguna jalan raya pada sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Padang Midin menghala ke Pusat bandar. FOTO GHAZALI KORI
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Lapan taman awam, termasuk satu taman rekreasi yang menjadi tumpuan orang ramai ditutup pada setiap hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu berkuatkuasa hari ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Shahidan Embok berkata penutupan semua taman termasuk taman rekreasi itu hanya membabitkan lokasi diselenggaraan MBKT.

Menurutnya, penutupan taman itu dilakukan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan kerajaan bermula semalam hingga 6 Disember depan.

"Taman yang terbabit dengan penutupan itu adalah taman Awam Batu Burok, Lagun Kuala Ibai, Taman Shah Bandar, Medan Selera Maziah, Taman Awam Padang Hiliran, Taman Waterfront Pulau Kambing, Taman Awam Bukit Besar dan Taman Rekreasi Teluk Ketapang di Seberang Takir, Kuala Nerus, " katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahidan menambah, notis penutupan lapan lokasi tumpuan orang ramai bagi mengelakkan berlakunya penularan pandemik Covid-19, pada setiap cuti hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu itu sudah dikeluarkan.

"Masyarakat di kawasan pentadbiran MBKT diminta untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan, " katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 5:24 PM