Siti Rohana Idris


Tumpat: "Macam bermimpi melihat tiang kayu sudah berceracak depan mata untuk membina rumah baharu yang selesa bagi menggantikan bangsal buruk ini," kata Rabiah Jusoh dari Kampung Pauh Seratus, Pantai Geting, di sini.

Dalam linangan air mata, warga emas berusia 70 tahun itu bersyukur kerana dapat menunaikan solat dalam ruang yang bersih dan selesa berbanding sebelum ini dengan lantai yang berlubang dan reput.

Berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu terutama kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society yang mula-mula menularkan kesusahan hidupnya, Rabiah mengakui tidak mampu untuk membalas jasa orang ramai.

"Saya tidak pernah bermimpi untuk tinggal di rumah baharu yang jauh sangat selesa berbanding bangsal buruk yang didiami sebelum ini... hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas jasa semua yang membantu.

"Saya tak minta banyak, cukuplah ada ruang bersih dan selesa untuk saya beribadat serta tinggal dengan lega tanpa rasa bimbang di saat hujan atau ribut kencang yang kerap menerbangkan atap zink sehingga menyebabkan saya lari keluar menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Rabiah tinggal seorang diri di bangsal yang dibinanya sendiri daripada kayu terbuang sejak 12 tahun lalu manakala tiga anaknya sudah berkeluarga dan tinggal berasingan.

Kesusahan hidup wanita itu mendapat perhatian ramai pihak termasuk pendakwah terkenal, Ebit Lew yang meluangkan masa mengunjungi Rabiah malam tadi.

Rabiah berkata, ramai yang datang menziarahinya untuk bertanya khabar selain memberi sumbangan barangan makanan serta kewangan bagi meringankan bebannya yang menyara hidup dengan mengambil upah mengopek ikan bilis.

"Sejak dua hari lalu saya menerima kunjungan yang bertali arus daripada ramai orang tidak dikenali termasuk yang datang daripada Kuala Lumpur bagi melihat sendiri kehidupan saya dalam bangsal buruk ini selain menghulurkan sumbangan.

"Saya bercadang untuk mengajak seorang daripada tiga anak yang menghidap angin ahmar untuk tinggal bersama nanti kerana dia dan isteri serta dua anaknya tinggal di rumah sewa kecil malah kehidupan mereka juga susah," katanya.

Sementara itu wakil Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed berkata, pembinaan rumah baharu Rabiah sudah bermula sejak tiga hari lalu dan kos pembelian bahan mentah menggunakan dana hasil sumbangan orang ramai.

"Semalam Ustaz Ebit Lew ada datang berkunjung dan wakilnya ada memaklumkan yang mereka akan turut membantu dalam menyiapkan pembinaan rumah baharu Rabiah," katanya.

RABIAH melihat rangka rumah yang dibina menggantikan bangsal uzur yang dihuninya sejak 12 tahun lalu. FOTO Siti Rohana Idris
RABIAH melihat rangka rumah yang dibina menggantikan bangsal uzur yang dihuninya sejak 12 tahun lalu. FOTO Siti Rohana Idris

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 11:39 AM