Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Di saat rakan sebaya lain sedang belajar dan mencari arah masa depan, Che Muhammad Arif Che Suhaimi mengorbankan zaman remajanya dengan menjaga serta menguruskan ibu yang terlantar akibat serangan angin ahmar.

Atas desakan hidup, remaja berusia 19 tahun itu mengambil keputusan berhenti sekolah ketika di Tingkatan Satu bagi memberi laluan kepada tiga adiknya meneruskan pengajian manakala dia pula mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga terutama menguruskan ibunya, Junaidah Ismail, 55.

Che Muhammad Arif berkata, ibunya diserang strok sebelah kiri badan hampir dua tahun lalu dan sejak itu, segala rutin ibunya terletak di bahunya sama ada menyuap makanan, memakaikan lampin pakai buang dan memandikan ibu.

"Setiap hari saya akan memasak untuk mak dan masakan kegemarannya adalah sup sayur yang dimakan bersama ikan goreng.

"Selepas itu saya akan memandikan mak dengan cara meletakkannya di atas sehelai kain sebelum mengheretnya untuk ke bilik air untuk dimandikan dan begitulah rutin harian saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cina di sini, semalam.

Tanggungjawab yang digalas oleh Che Muhammad Arif bukan hanya terhadap ibunya yang juga seorang ibu tunggal tapi juga tiga adik termasuk abang sulungnya yang mengalami masalah kemurungan.

Mereka enam beranak tinggal di rumah pusaka yang sudah uzur bersama ibu saudara, Naimah Ismail, 77 serta dua anaknya yang dikenali sebagai Siti Abidah, 30-an dan Shahrizan, 40-an yang turut mempunyai masalah kemurungan.

Che Muhammad Arif berkata, ibunya bukan sahaja menghidap strok tapi juga mengalami masalah penglihatan kabur serta kerap diserang sawan akibat komplikasi strok dan disebabkan itu dia tidak boleh meninggalkan ibunya untuk bekerja di mana-mana sekalipun ada menerima tawaran kerja.

CHE Muhammad menjaga ibunya Junaidah Ismail yang terlantar akibat strok di rumahnya di Kampung Cina. FOTO SITI ROHANA IDRIS
CHE Muhammad menjaga ibunya Junaidah Ismail yang terlantar akibat strok di rumahnya di Kampung Cina. FOTO SITI ROHANA IDRIS

"Saya reda dengan ujian ini malah berasa bersyukur dapat berbakti kepada mak kerana sudah menjadi tanggungjawab sebagai anak lelaki menjaga ibu..lagipun Syurga saya di bawah tapak kakinya," katanya.

Memandangkan tiada yang bekerja, mereka hanya bergantung hidup kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima Junaidah dan Naimah masing-masing sebanyak RM300 sebulan.

Menurut Che Muhammad Arif lagi, bantuan bulanan yang diterima ibunya hanya mencukupi untuk perbelanjaan lampin pakai buang sahaja manakala untuk kelangsungan mereka, selain bantuan JKM yang diterima ibu saudara, jiran tetangga banyak membantu dengan menghulurkan makanan.

Bagi Junaidah sendiri, perasaan bersalah kerap hadir dalam dirinya kerana membebankan anak keduanya itu sehingga banyak pengorbanan terpaksa dibuat oleh Che Muhammad Arif.

Dalam berlinangan air mata, Junaidah hanya berharap anaknya itu diberi kesihatan yang baik untuk terus menjaganya hingga akhir hayat.

"Tiada apa yang dapat saya sediakan buatnya dan empat lagi anak lain kecuali mendoakan semoga Allah memberkati mereka terutama Arif yang bersengkang mata menguruskan saya tanpa merungut," katanya yang menerima kunjungan dua wakil badan bukan kerajaan iaitu Cempaka Merah Asnaf Society dan I-Kasih sambil menghulurkan sedikit sumbangan.

Kepada yang ingin membantu meringankan beban mereka sekeluarga, boleh menyalurkan sumbangan menerusi akan Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Junaidah Ismail iaitu 03100-41-00019681-7.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 4:11 PM