Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Seorang ahli perniagaan bergelar datuk didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan ugutan jenayah dengan menggunakan pistol dan mencederakan seorang wanita, bulan lalu.

Tertuduh, Datuk Razali Daud, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan Fauzilah Mohamed, 53, dengan menggunakan pistol yang mana ugutan itu boleh menyebabkan kematian atau cedera parah berhampiran pusat jualan kereta di Jalan Long Yunus di Kota Bharu pada jam 11 pagi, 28 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Fauzilah pada masa, tarikh dan di lokasi yang sama.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Bagi dakwaan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Khairul Anuar Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad 'Adha 'Amir Yasser Amri.

Terdahulu, Ahmad 'Adha memohon jaminan minimum terhadap anak guamnya kerana tertuduh menjaga ibu yang mengidap penyakit parkinson dan diabetis, manakala isteri tidak bekerja serta mempunyai penyakit darah tinggi dan migrain.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 21 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 2:36 PM