Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Belum ada tangkapan dibuat susulan kes lelaki Myanmar yang hampir putus leher dalam pergaduhan di Kampung Pak Mat Yong, Pasir Puteh, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kelantan Deputi Komisioner Sapiai@Shafien Mamat berkata, pihaknya masih menyiasat dan mendapatkan maklumat lanjut daripada mangsa yang sukar bercakap mahupun berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

"Mangsa masih dirawat di hospital dan kita masih mengumpul maklumat sama ada daripada mangsa atau mana-mana pihak kerana mangsa dipercayai bekerja sebagai nelayan.

"Dia mungkin terbabit pergaduhan di atas bot, namun apa sebenarnya berlaku belum dapat dipastikan," katanya ditemui pada Majlis Makan Malam Jalinan Strategik Pembudayaan Norma Baharu Putuskan Rantaian Covid-19 di di sini, malam tadi.

Untuk itu, Shafien meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan.

Terdahulu, beliau berkata, pihaknya menguatkuasakan tiga sekatan jalan raya (SJR) di pintu masuk utama Kelantan - Pasir Puteh, Gua Musang dan Jeli, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di hampir seluruh negara.

"SJR ini beroperasi 24 jam dengan bilangan anggota bertugas seramai tujuh orang di setiap lokasi dan kita juga meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk sama-sama dalam penugasan," katanya.

Katanya lagi tahap pematuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 mencapai 95 peratus, namun operasi pemantauan terus dilakukan bagi mengekang kesalahan.

Shafien ketika ditemui pemberita selepas majlis, malam tadi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Shafien ketika ditemui pemberita selepas majlis, malam tadi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Berita berkaitan

Lelaki Myammar parah, leher hampir putus

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 8:54 AM