HUJAN lebat sejak lewat petang menyebabkan air sungai naik dan melimpah hingga setengah meter di atas jalan raya di Rasah. FOTO Mohd Khidir Zakaria
HUJAN lebat sejak lewat petang menyebabkan air sungai naik dan melimpah hingga setengah meter di atas jalan raya di Rasah. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Rasah: Hujan lebat sejak petang tadi menyebabkan air mula naik dan melimpah hingga ke jalan utama di Jalan Seremban-Port Dickson malam tadi.

Tinjauan NSTP mendapati, keadaan amat membimbangkan jika hujan berterusan dan air semakin naik yang boleh menyebabkan banjir besar seperti empat hari lalu.

Menurut penduduk Taman Moksun, Rasah, Mok Kok Lim, 54, keadaan semakin membimbangkan dan dia sudah mengalihkan semua peralatan rumah di tingkat atas kerana bimbang banjir datang lagi.

"Saya baru sahaja membersihkan rumah yang dimasuki air setinggi dua meter ketika banjir kilat awal pagi Khamis lalu.

"Hujan sejak lewat petang tadi menyebabkan air sungai di Rasah naik dan kini mula melimpah hingga setengah meter di atas jalan utama dan penduduk sekitar mulai bimbang kerana ia banjir lumpur yang menyusahkan penduduk," kata ahli perniagaan ini.

Pengguna jalan raya, Mustapha Ahmad, 45, berkata, dia terkejut apabila melihat keadaan air yang cepat naik apabila hujan berterusan sejak tiga jam lalu.

"Saya nak balik ke Port Dickson dan menunggu hujan berhenti, terkejut melihat keadaan yang membimbangkan kerana air semakin naik terutama di jalan raya.

"Keadaan ini boleh menyebabkan banjir besar kembali dalam masa kurang seminggu dan sesuatu perlu dilakukan terutama di kawasan yang sudah dikenalpasti mudah dilanda banjir kilat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, Nicole Tan Lee Koon berkata, pihaknya sudah mula bertindak sejak petang tadi mengawasi keadaan air terutama di longkang yang semakin naik.

"Ahli Majlis Perbandaran Seremban sudah meninjau keadaan ini dan semakin membimbangkan kerana air naik dengan cepat terutama apabila hujan berterusan.

"Kita berharap semua kawasan perumahan yang dinaiki air baru-baru ini sentiasa bersedia jika keadaan itu semakin buruk yang boleh membahayakan jika air semakin naik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 9:52 PM