MAYAT lelaki warga Myanmar yang juga kru bot nelayan yang hilang selepas terjatuh ke dalam laut ketika menarik pukat, Khamis lalu ditemui. FOTO Ihsan APMM
MAYAT lelaki warga Myanmar yang juga kru bot nelayan yang hilang selepas terjatuh ke dalam laut ketika menarik pukat, Khamis lalu ditemui. FOTO Ihsan APMM
Amirul Aiman Hamsuddin

Sungai Besar: Mayat lelaki warga Myanmar yang juga kru bot nelayan yang hilang selepas terjatuh ke dalam laut ketika menarik pukat, Khamis lalu, ditemui pada kedudukan 8.8 batu nautika barat Sungai Besar, hari ini.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, mayat berkenaan ditemui dalam keadaan terapung oleh komuniti nelayan yang menangkap ikan di kawasan berkenaan pada jam 12.33 tengah hari.

"Mayat mangsa dibawa ke muara Sungai Besar oleh bot Maritim Negeri Selangor dan dipindahkan ke bot Tentera Laut Diraja Malaysia untuk memasuki jeti nelayan Sungai Besar berikutan keadaan air yang cetek.

"Mayat kemudian didaratkan di jeti nelayan itu bagi tujuan pengecaman dan seterusnya dibawa ke Hospital Sabak Bernam untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari mangsa yang bermula sejak empat hari lalu ditamatkan pada jam 4.15 petang.

Dalam pada itu, siasatan ke atas pemilik bot mendapati mangsa merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan pekerja kepada tekong terbabit.

"Kita mengingatkan pengusaha bot nelayan agar memastikan pekerja mereka mematuhi langkah-langkah keselamatan khususnya memakai jaket keselamatan ketika berada di laut.

"Malah, amaran turut diberikan kepada pengusaha supaya tidak menggajikan pendatang asing tanpa izin atau menjadikan bot sebagai pengantara membawa masuk Pati ke negara ini. Tindakan tegas bakal diambil kepada mereka yang terlibat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 8:38 PM