NUFAIEL Qaiesz Osman, 10, menjalani sesi pembelajaran secara dalam talian kendalian gurunya bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di negeri Selangor. Pembelajaran dalam talian antara alternatif digunakan oleh guru untuk mengajar kepada anak murid. FOTO Osman Adnan
NUFAIEL Qaiesz Osman, 10, menjalani sesi pembelajaran secara dalam talian kendalian gurunya bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di negeri Selangor. Pembelajaran dalam talian antara alternatif digunakan oleh guru untuk mengajar kepada anak murid. FOTO Osman Adnan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sudah sampai masanya kerajaan membangunkan satu sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) sesuai dengan norma baharu susulan penularan Covid-19.

Ia satu inisiatif perlu memandangkan ketika ini negara sudah memasuki gelombang ketiga pandemik dan kajian mengenainya harus dilakukan segera bagi memastikan P&P berjalan lancar.

Penganalisis Akademik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMap) Dr Khairuddin Md Isa berkata, dengan mengambil kira pengalaman peringkat mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, seharusnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempunyai pelan awal untuk sistem pembelajaran di negara ini.

"Sepatutnya kita sudah belajar daripada trend sebelum ini. Setakat ini, kita masih dengan keputusan menutup sekolah dan digantikan dengan Home Based Learning yang terhad.

"Apa yang pasti, kita sudah tahu masalah pandemik ini tidak akan selesai dalam tempoh singkat, justeru penyelesaian menyeluruh amat perlu, bukannya mengulangi penutupan sekolah yang menjejaskan pembelajaran murid," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan KPM bagi memperhalusi kaedah lebih tepat bagaimana untuk meneruskan sesi pembelajaran ketika wabak ini masih berterusan.

"Ia juga merangkumi kaedah pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang ketika ini turut ditutup," katanya.

Sementara itu Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang berkata, pihaknya sudah bersedia untuk menjalankan P&P secara maya berdasarkan pengalaman daripada PKP sebelum ini.

Katanya, walaupun masih terdapat masalah terutamanya bagi mereka yang berdepan isu jaringan internet, pihaknya yakin ia tidak akan menjejaskan proses pembelajaran.

Katanya, pemerhatian mendapati, terdapat beberapa isu termasuk kawalan ke atas murid yang datang ke sekolah setiap hari selepas ia dibuka semula sebelum ini.

"Kita juga bimbang bagaimana hendak mengawal murid agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan berkesan kerana ia hanya terhad di kawasan sekolah.

"Selebihnya kita juga tidak tahu rekod perjalanan sebelum itu dan ada juga ibu bapa yang mengambil keputusan untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah," katanya.

Hari ini Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin mengumumkan penutupan sekolah bermula esok sehingga 17 Disember bagi negeri Kumpulan A dan 18 Disember bagi negeri Kumpulan B.

Ia bagi membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19 yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Berita berkaitan:

  • Semua sekolah tutup
  • Sesi persekolahan 2021 mula 20 Januari
  • PKSK tingkatan satu dan empat ditangguhkan
  • Tarikh peperiksaan awam 2020 dipinda
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 5:17 PM