Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak menolak kemungkinan perkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu di Sabah susulan situasi semasa menyaksikan hampir keseluruhan daerah di negeri itu kini bertukar menjadi zon merah Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mengarahkan supaya mesyuarat jawatankuasa teknikal diadakan dengan mengambil kira nasihat dan SOP bersesuaian daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ada beza antara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jadi kita kena lihat secara terperinci SOP kedua-duanya.

"Kalau nak kenakan PKP, SOP perlu diperkenalkan semula dan ia wajar diwartakan oleh Peguam Negara.

"Jika kita sediakan SOP bagi PKP di Sabah, perlu dipertimbangkan sektor ekonomi, jadi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan diminta bersama MKN untuk lihat perkara ini secara terperinci," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, pengumuman lanjut berhubung SOP dan langkah kawalan semasa di Sabah akan diumumkan selepas sidang khas MKN, Isnin ini.

Bagaimanapun, katanya, keputusan kerajaan setakat ini kekal untuk Sabah dikenakan PKPB, seperti sembilan negeri lain di Malaysia.

"Jika ada apa-apa keputusan, kita akan umumkan," katanya.

Setakat 12 tengah hari semalam, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah ialah sebanyak 19,282 kes iaitu yang tertinggi di negara ini dengan sejumlah 1,199 kes baharu semalam.

ISMAIL Sabri. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri. FOTO Bernama

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 5:46 PM