Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Tindakan pantas orang awam berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang mahu terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan di Kubota Sentral dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, lelaki berusia 24 tahun terbabit dilihat sedang berpaut pada besi penghadang kaca di balkoni bangunan berkenaan.

Pada masa sama, orang ramai yang melihat aksi lelaki itu turut meletakkan beberapa kotak dan tilam di hadapan bangunan berkenaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 5.06 petang sebelum sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, maklumat awal mendapati mangsa dipercayai mengalami masalah mental dan kemurungan.

"Mangsa yang berada di tingkat tiga bangunan berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Lelaki yang cuba terjun dari bangunan di Kubota Sentral, Tawau petang semalam. Foto Ihsan Pembaca
Lelaki yang cuba terjun dari bangunan di Kubota Sentral, Tawau petang semalam. Foto Ihsan Pembaca

Turut berada di lokasi, dua buah jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama lapan pegawai dan anggota dan sebuah ambulans.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 11:37 AM