ADNAN. FOTO Arkib NSTP
ADNAN. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berterima kasih kepada kerajaan yang memberi Bantuan Khas Kewangan RM600 kepada kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah.

Presiden Cuecpas Adnan Mat berkata, pihaknya bersyukur dan menyifatkan langkah kerajaan itu amat bersesuaian dengan situasi negara ketika ini yang menghadapi pandemik Covid-19.

"Lebih istimewa apabila petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberikan pemberian one-off (bayaran sekali) RM500.

"Bagaimanapun Cuepacs melihat konteks petugas barisan hadapan itu harus diperluaskan lagi kepada beberapa jabatan lain seperti anggota polis atau tentera dan tidak hanya tertumpu kepada petugas KKM sahaja," katanya dalam satu kenyataan.

Adnan berkata, ini kerana dalam usaha mencegah penularan Covid-19 ini, pelbagai jabatan kerajaan dikerahkan untuk menjadi petugas barisan hadapan dan bukannya hanya membabitkan jabatan tertentu sahaja.

"Cuepacs bagi pihak penjawat awam menzahirkan penghargaan tertinggi kepada kerajaan kerana tetap memberikan keutamaan kepada sektor perkhidmatan awam.

"Keutamaan itu meliputi pelbagai aspek seperti pemerkasaan sistem perkhidmatan serta tidak lupa dalam hal-hal kebajikan penjawat awam itu sendiri.

"Biarpun tiada pengumuman kenaikan gaji atau bonus tambahan kepada kakitangan awam, tetapi fokus yang diberikan untuk memperkasakan sistem perkhidmatan awam dan kebajikan warganya tetap dialu-alukan," katanya.

Selain pengumuman bantuan khas itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Belanjawan 2021 dipetik berkata, pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen juga bakal menerima RM300 dengan kedua-dua bantuan itu akan dibayar pada awal 2021.

"Selanjutnya bagi menghargai keringat kepahlawanan dan bakti pesara polis yang menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara, kerajaan bersetuju untuk melaksana pemberian one-off sebanyak RM500 kepada 40,000 penerima," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga mengumumkan dua inisiatif bagi menambah baik kemudahan anggota perkhidmatan awam, iaitu menaikkan kadar elaun RM6 kepada RM8 ringgit sejam untuk lebih 1,900 pegawai bomba bantuan mulai 2021.

Katanya, inisiatif kedua memperkenalkan skim perlindungan kemalangan diri percuma sehingga RM100,000 kepada peminjam baharu Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam bagi 2021 dan 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 8:42 PM