GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini lebih bersedia mengendalikan pilihan raya ketika tempoh Covid-19 dengan dengan garis panduan pencegahan yang lebih komprehensif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tahap kesiapsiagaan SPR termasuk penganjuran Pilihan Raya Negeri (PRN) mahupun Pilihan Raya Umum (PRU).

Katanya, ia juga selaras Perlembagaan negara yang menetapkan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pemakluman pembubaran.

"Sekiranya diandaikan PRN Sarawak perlu diadakan pada tarikh akhir, 6 Jun 2021, maka SPR perlu mengendalikan pilihan raya itu.

"Namun, dalam keadaan Covid-19 masih lagi melanda negara, sudah tentulah SPR perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"SPR sekarang ini sudah pun bersedia dengan garis panduan pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan sama ada PRU, PRN atau Pilihan Raya Kecil (PRK)," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang bertanya sama ada SPR bersedia menghadapi sebarang pilihan raya jika diadakan dalam masa terdekat.

Selain itu, Takiyuddin berkata, SPR sudah berpengalaman dalam mengendalikan pilihan raya bersama SOP pencegahan Covid-19 menerusi dua PRK terdahulu serta PRN Sabah.

"Antara langkah pencegahan untuk melaksanakan pilihan raya semasa Covid-19 adalah pembersihan dan sanitasi di semua premis dikenal pasti akan digunakan untuk tujuan pelaksanaan pilihan raya, kawalan kehadiran, saringan suhu, penjarakan fizikal serta penggunaan pembasmi kuman," katanya.

Malah, katanya, SOP yang lebih ketat akan diguna pakai pada PRK Batu Sapi, Sabah, yang dijadual pada Disember ini yang mana calon bertanding tidak dibenar mengadakan kempen atau ceramah.

"SPR sedang melaksanakan taklimat mengenai pelaksanaan PRK itu kepada petugas secara dalam talian," katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta menyatakan kos PRN Sabah, beliau memaklumkan kos itu mencecah RM130 juta yang merangkumi perolehan pembelian dan sewaan peralatan pilihan raya, keperluan peralatan dan sistem ICT, logistik, elaun petugas pilihan raya dan keperluan lain yang berkaitan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 2:23 PM