SALMAN (kanan) menunjukkan gambar kuku harimau dan serta haiwan yang diburu oleh pemburu haram yang dirampas pasukan polis Johor dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Johor dalam operasi di Kluang. FOTO Zain Ahmed
SALMAN (kanan) menunjukkan gambar kuku harimau dan serta haiwan yang diburu oleh pemburu haram yang dirampas pasukan polis Johor dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Johor dalam operasi di Kluang. FOTO Zain Ahmed
Omar Ahmad

Johor Bahru: Permintaan yang tinggi terhadap haiwan eksotik menjadikan aktiviti pemburuan haram masih dilakukan di negeri ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban mendedahkan semangkuk sup haiwan eksotik seperti harimau dan beruang boleh mencecah sehingga RM300.

Katanya, harimau dikenal pasti mendapat permintaan paling tinggi dalam kalangan penggemar daging haiwan eksotik.

"Ia digunakan untuk tujuan perubatan termasuk menguatkan tenaga batin walaupun perkara itu masih belum dibuktikan secara saintifik.

"Kalau biasanya sup babi hutan dijual pada harga RM8 semangkuk. Harga yang dijual di restoran eksotik ini bergantung kepada jenis haiwan. Semakin sukar didapati semakin mahal harganya.

"Harga untuk semangkuk sup daging harimau atau beruang boleh mencecah antara RM200 hingga RM300. Biasanya pemilik restoran eksotik akan mengambil tempahan pelanggan terlebih dahulu sebelum menyediakan hidangan kerana sukar diperolehi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Ops Khazanah Bersepadu bersama Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, pihaknya bersama Perhilitan Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat pemeriksaan terhadap 34 premis yang menjual serta menyimpan haiwan eksotik di negeri ini bermula Ogos hingga Oktober lalu.

Katanya, seramai 16 pemburu haram bersama rampasan pelbagai daging eksotik ditahan dan diambil tindakan mengikut Seksyen 60 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Akta Imigresen dan Undang-undang Kecil Akta Kerajaan Tempatan.

"Selain untuk hidangan, haiwan liar ini diburu sebagai hobi walaupun kegiatan memburu haiwan terbabit diharamkan di Johor termasuk dengan cara menjerat.

"Setakat ini, hanya ada 27 restoran makanan eksotik berlesen di Johor, tetapi mereka juga tertakluk kepada syarat boleh menjual antaranya daging babi hutan dan biawak.

"Bagaimanapun, ada di antara restoran ini menjual daging terbabit (yang tidak dibenarkan) selain (daging haiwan) yang dibenarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 7:22 PM