AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH
AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan menerima mengadap Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai penyediaan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dalam majlis menghadap di Istana Negara 3 petang tadi, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah taklimat ringkas mengenai kedudukan ekonomi dan fiskal negara.

"Seri Paduka Baginda juga turut dimaklumkan mengenai usaha Kementerian Kewangan bagi penyediaan Belanjawan 2021 sejak Julai lalu melalui lebih 40 sesi libat urus yang membabitkan lebih 2,000 individu dan wakil perniagaan termasuk wakil daripada parti politik yang diadakan baru-baru ini.

"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan serta parti-parti politik di atas semangat bipartisan dan pemuafakatan yang ditunjukkan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Turut hadir dalam majlis sembah taklimat ringkas itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Asri Hamidon.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar kerajaan dapat memperhalusi dengan sebaik-baiknya cadangan yang dikemukakan bagi merangka belanjawan yang bersifat inklusif dan komprehensif serta berpaksikan kebajikan rakyat, pemulihan ekonomi negara dan pembendungan efektif wabak Covid-19.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah berpendapat amalan kematangan berpolitik dengan mengenepikan perbezaan dan kepentingan parti atau peribadi amat penting ketika ini demi keselamatan dan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat bencana wabak Covid-19.

"(Baginda bertitah) Semangat sebegini adalah selaras dengan budaya syura yang dianjurkan Islam sebagaimana yang dipamerkan oleh Raja-Raja Melayu dalam sesi Perbincangan Khas di Istana Negara pada 25 Oktober lalu.

"Dalam menghadapi situasi yang sukar dan genting ini adalah wajar kita mendahulukan kemaslahatan masyarakat umum di atas kepentingan individu secara khusus," katanya.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar semangat kerjasama yang dizahirkan oleh pelbagai pihak dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 6:43 PM