Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kerajaan akan mengumumkan beberapa perubahan membabitkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam tempoh terdekat.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah membentangkan SOP baharu itu dalam sidang khas dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"MKN sudah bentang (SOP baharu) dalam sidang khas yang dipengerusikan Perdana Menteri, tetapi kita minta kemaskan kembali cadangan itu kerana tidak mahu berlaku kekeliruan di dalam masyarakat yang akan menyusahkan rakyat kita sendiri.

"MKN akan tambah baik SOP itu dan Insya-Allah kita akan bentang semula dalam waktu terdekat ini, mungkin dalam tempoh dua tiga hari dari sekarang," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian dalam sidang media harian mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-231 dan hari ke-147 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Anggota keselamatan mengawal laluan masuk di kawasan Putra Point berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Anggota keselamatan mengawal laluan masuk di kawasan Putra Point berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Sementara itu, katanya, kerajaan akan meneruskan arahan dikeluarkan bermula 24 Julai lalu kepada rakyat pulang ke tanah air dan warga asing yang masuk ke negara ini untuk menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin ditetapkan.

"Sebelum ini memang kita perkenalkan kuarantin wajib di hotel tetapi kemudian kita longgarkan sedikit apabila kita benarkan kuarantin kendiri di rumah.

"Tetapi banyak berlaku masalah apabila kebenaran kuarantin kendiri di rumah diizinkan sebab ramai yang tidak mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan.

"Jadi kita berbalik kepada kuarantin wajib di stesen kuarantin, lebih-lebih lagi hampir semua negara di seluruh dunia kini menunjukkan peningkatan kes yang mendadak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 7:59 PM