Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan ujian berkala Covid-19 dilakukan terhadap petugas dan Ahli Parlimen yang bersidang di Parlimen.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, cadangan berkenaan akan dibentangkan KKM kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"KKM akan mencadangkan ujian berkala bukan hanya tiga hari sebelum malah dilakukan secara berkala iaitu dua minggu sekali.

"Kita berharap cadangan ini akan dipertimbangkan, KKM juga sudah memperketatkan kehadiran petugas di parlimen iaitu mewajibkan mereka melakukan ujian saringan Covid-19," katanya pada sidang media harian berhubung perkembangan semasa Covid-19.

Dr Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
Dr Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP

Dr Noor Hisham berkata, semua petugas di Parlimen termasuk Ahli Parlimen dinasihatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan.

"Walaupun terdapat saringan suhu, namun 60 hingga 70 peratus daripada pembawa adalah individu yang tidak bergejala.

"Risiko tetap ada tetapi KKM akan menjalankan penilaian risiko dari semasa ke semasa selain bekerjasama dengan kementerian lain untuk mengelakkan berlaku jangkitan di Parlimen," katanya.

Menurutnya, KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara dan juga luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 7:40 PM