PESAWAT Malindo Air. Foto Arkib NSTP
PESAWAT Malindo Air. Foto Arkib NSTP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Pekerja syarikat penerbangan, Malindo Air yang diberhentikan kerja serta-merta boleh mendapatkan bantuan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) sehingga enam bulan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, bayaran elaun akan dibuat antara 30 hingga 80 peratus daripada gaji akhir di bawah had gaji RM4,000.

"Bantuan ini adalah seperti Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), Elaun Latihan, Fi Latihan dan Faedah bantuan pencarian pekerjaan.

"Pada masa sama, pekerja Malindo Air yang diberhentikan kerja boleh mendaftar dengan Portal MYFutureJobs iaitu portal pekerjaan yang membantu mereka mendapatkan pekerjaan," katanya.

Saravanan menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto mengenai bantuan yang akan diberikan Kementerian Sumber Manusia (KSM) kepada pekerja Malindo Air yang diberhentikan kerja serta-merta dan rancangan untuk memastikan 'job security' untuk mereka.

Saravanan berkata, KSM melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PMSB) mempunyai pelbagai inisiatif dibawah Penjana HRDF yang dapat membantu pekerja Malindo Air hilang pekerjaan atau yang mungkin akan kehilangan kerja.

"Di bawah inisiatif 'Place and Train', pekerja Malindo Air boleh dilatih semula dan ditempatkan bagi mengisi kekosongan kerja yang ditawarkan dalam 'industry hospitality' yang berkaitan.

"Untuk makluman, sejak Ogos 2020, seramai 35,000 peserta dikenalpasti untuk dilatih dan seterusnya diserap ke dalam syarikat terbabit.

"Pada masa sama PMSB juga mempunyai program "Gerak Insan Gemilang" atau "GIG" di mana pekerja Malindo Air yang berminat boleh mendapatkan latihan kemahiran dalam pelbagai bidang bagi menjana pendapatan sampingan sementara mencari pekerjaan baru," katanya.

Saravanan menjelaskan, KSM cukup memahami dan prihatin dengan permasalahan yang dihadapi oleh pekerja industri penerbangan di Malaysia.

"Masalah pemberhentian dan pengecilan operasi oleh syarikat penerbangan adalah satu fenomena global.

"Syarikat penerbangan MAS, Malindo dan AirAsia juga tidak terkecuali dalam mengambil pendekatan memberhentikan pekerja mereka dalam mengurangkan impak pandemik Covid-19," katanya.

Katanya, bagi pekerja yang ditamatkan perkhidmatan berikutan pandemik Covid-19 dan merasakan penamatan perkhidmatan itu adalah tidak adil dan tanpa alasan yang munasabah, mereka mempunyai hak untuk memfailkan representasi pemulihan kerja di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) yang membolehkan pekerja tersebut dipulihkan ke pekerjaan asal.

"Untuk makluman, setakat 2 November, Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) menerima sebanyak 31 kes representasi pemulihan kerja di bawah seksyen 20 Akta 177 yang membabitkan bekas pekerja Malindo Air.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 24 kes berjaya diselesaikan melalui rundingan damai manakala bakinya tujuh kes masih lagi dalam tindakan JPP bagi proses rundingan damai," katanya.

Katanya, JPP menjangkakan dalam masa terdekat lebih banyak kes akan diterima daripada bekas pekerja Malindo Air memandangkan had tempoh masa 60 hari yang ditetapkan di bawah Akta 177 masih belum tamat dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan di beberapa negeri masih berkuatkuasa.

"Pada masa sama berdasarkan laporan yang disiarkan di akhbar, satu lagi Jabatan di bawah KSM iaitu Jabatan Tenaga Kerja mengambil inisiatif untuk mengadakan satu perbincangan dengan pengurusan Malindo Air bersama Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada hari ini.

"Mesyuarat ini akan membincangkan isu berkaitan pematuhan perundangan perburuhan serta langkah menjaga kebajikan pekerja yang terbabit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 12:40 PM