EBIT Lew ketika menziarah jenazah mendiang di hospital. FOTO Ihsan FB Ebit Lew
EBIT Lew ketika menziarah jenazah mendiang di hospital. FOTO Ihsan FB Ebit Lew
Omar Ahmad


Johor Bahru : Tersentuh dengan pengorbanan anggota polis yang maut ketika bertugas mengejar penjenayah, pendakwah terkenal, Ebit Lew melawat keluarga mendiang Nicholester Dadup Unggat, 20, di sini, malam tadi.

Ebit yang memuatnaik hantaran di laman Facebook (FB) miliknya turut melahirkan rasa sayu dengan pemergian anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit yang disifatkan sebagai pejuang menjaga keamanan negara.

Beliau turut merasa terharu menerima sambutan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay biarpun tiba di negeri ini lewat malam.

"Sayu sangat hati ini, perginya seorang pejuang anggota PDRM Konstabel Nicholester Dadup Unggat manakala seorang lagi cedera parah, Lans Koperal Mohamad Fadhirul Musa, 32. Mereka kemalangan semasa mengejar penjenayah. Pejuang menjaga keamanan negara.

"Terus bergegas ke Johor. Sampai sahaja di Johor terharu sangat dengan sambutan Ketua Polis Johor yang teramat saya hormati dan sayangi Datuk Ayob Khan yang menanti saya dan bawa saya ziarah mereka (keluarga anggota) walaupun sudah malam.

"Semua anggota polis dan keluarga ramai di sini. Mereka semua berkhidmat walau dah malam. Kerja polis 24 jam. Kuatnya mereka," katanya.

Menurut Ebit, kakak mendiang Elizcavelynicy Unchi Unggat, 23 terharu dan tidak menyangka kedatangannya.

Katanya kakak mendiang sering mengikuti perkembangannya.

"Kakaknya menangis sahaja tadi. Mendiang akan dibawa ke Sibu oleh PDRM semuanya. Daripada kecil beliau ingin menjadi polis. Banyak kali temuduga naik bas. Cita-citanya mahu menjadi polis. Baru berumur 20 tahun.

"Saya sempat beri kata semangat dan ucap takziah serta meminta dia bersabar. Baik kakaknya. Ulang kali cakap terima kasih," katanya.

Dalam lawatan itu, Ebit turut meluangkan masa menziarah keluarga Mohamad Fadhirul serta memberi sumbangan RM2,000 kepada setiap keluarga dua anggota terbabit.

"Isteri dan anak semua ada di kawasan hospital. Sayu saya rasa. Menangis isterinya. Allahuakbar.

"Saya beri sumbangan RM2,000 setiap keluarga. Tidak terbalas perjuangan dan pengorbanan mereka. Semoga keluarga semua tabah," katanya.

Berita berkaitan

Anggota polis maut kemalangan

[UPDATE] Anggota polis maut ketika kejar penjenayah

Polis maut kejar penjenayah: Kereta suspek ditemui [METROTV]

'Mendiang adik janji mahu belikan rumah untuk ibu' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 11:25 AM