Omar Ahmad


Johor Bahru: Polis melancarkan gerakan memburu dua suspek menaiki Perodua Myvi yang bergesel dengan kereta peronda polis (MPV) di Jalan Kangkar Tebrau, Kampung Kangkar Tebrau awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya yakin kedua-dua suspek lelaki itu dapat dikesan dan ditahan dalam masa terdekat.

"Nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek sudah ada dan gerakan memburu mereka sedang giat dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menziarahi keluarga mendiang Konstabel Nicholester Dadup Unggat, 20, di Unit Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, hari ini.

Anggota dari Balai Polis Bandar Dato' Onn itu maut apabila kereta MPV itu terbabit kemalangan dengan Perodua Aruz selepas bergesel dengan kereta dinaiki suspek.

Ayob Khan berkata, kejadian itu menyebabkan Konstabel Nicholester meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala manakala pemandu, Lans Koperal Mohd Khairul Musa, 32, cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI.

"Sebelum kejadian, kedua-dua anggota terbabit sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan sebelum terserempak dengan sebuah Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan.

AYOB Khan menziarahi keluarga mendiang Konstabel Nicholester Dadup Unggat di Unit Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) hari ini. FOTO Omar Ahmad
AYOB Khan menziarahi keluarga mendiang Konstabel Nicholester Dadup Unggat di Unit Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) hari ini. FOTO Omar Ahmad

"Anggota mengarahkan suspek memberhentikan kenderaannya namun mereka bertindak melarikan dan anggota berkenaan mengejarnya.

"Ketika tiba di Jalan Kangkar Tebrau dan Jalan Tun Teja, MPV bergesel dengan kereta suspek sebelum terbalik dan dilanggar sebuah Perodua Aruz yang dinaiki dua orang awam dari arah bertentangan," katanya

Ayob Khan memaklumkan jenazah mendiang Nicholester Dadup yang masih bujang itu akan diterbangkan ke Sibu, Sarawak petang ini untuk disemadikan di kampung halamannya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Kita juga akan lakukan siasatan ikut seksyen lain-lain selepas suspek berjaya ditangkap," katanya.

Berita berkaitan

'Mendiang adik janji mahu belikan rumah untuk ibu'

[UPDATE] Anggota polis maut ketika kejar penjenayah

Anggota polis maut kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 2:23 PM