Omar Ahmad


Johor Bahru: "Adik berjanji belikan rumah lebih besar untuk ibu selepas dia dinaikkan gaji, tetapi semuanya tidak sempat adik lakukan," kata Elizcavelynicy Unchi Unggat, kakak kepada Konstabel Nicholester Dadup Unggat, 20, yang maut ketika mengejar penjenayah pagi tadi.

Nicholester Dadup maut selepas kereta peronda MPV polis terbabit kemalangan semasa mengejar penjenayah di Jalan Kangkar Tebrau Kampung Kangkar Tebrau, kira-kira jam 5 pagi tadi.

Elizcavelynicy, 23, yang juga jururawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail (HSI) berkata, mendiang baru melaporkan diri pada April lalu di Balai Polis Bandar Dato' Onn, di sini, selepas tamat latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuching, Sarawak.

"Dia memang adik dan anak yang sangat baik. Adik beritahu dia baru naik gaji dan berjanji dengan ibu di Kuching mahu membelikan rumah yang lebih besar kerana kami mempunyai keluarga besar di sana.

AYOB Khan melawat keluarga mendiang Nicholester Dadup di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik HSI. FOTO Omar Ahmad
AYOB Khan melawat keluarga mendiang Nicholester Dadup di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik HSI. FOTO Omar Ahmad

"Kami jumpa kali terakhir minggu lalu di rumah sewa adik di Bandar Dato' Onn. Adik sangat gembira kerana kami sememangnya rapat," katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik HSI, di sini, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay turut melawat keluarga mangsa di Jabatan Perubatan Forensik HSI.

Elizcavelynicy berkata, dia menerima panggilan dari Balai Polis Bandar Dato' Onn pada jam 8.30 pagi tadi yang memaklumkan kemalangan itu.

"Saya ingatkan adik kemalangan biasa saja tetapi tidak sangka dia meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, mendiang adiknya yang juga anak ketiga dari lima beradik itu akan disemadikan di kampung halaman di Sibu, Sarawak.

Berita berkaitan

[UPDATE] Anggota polis maut ketika kejar penjenayah

Anggota polis maut kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 1:32 PM