GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suzanna Maidan


Kota Kinabalu: Jumlah kes Kluster Rumah Merah naik berganda sebanyak 111 kes pada hari ini, berpunca daripada saringan yang dilaksanakan ke atas dua blok pusat tahanan sementara (PTS) Menggatal.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun dalam kenyataan medianya malam ini berkata, bilangan kes dijangka akan terus meningkat untuk tempoh beberapa hari lagi.

"Ini disebabkan PTS berkenaan mempunyai 10 blok dengan jumlah keseluruhan 1,706 tahanan," katanya.

Semalam Kluster Rumah Merah yang membabitkan penularan di PTS Menggatal, dekat sini, merekodkan 57 kes.

Menteri Kewangan II itu juga berkata, seramai 128 jururawat kontrak telah melapor diri ke Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKMS) dalam usaha membantu kerajaan negeri membendung penularan wabak Covid-19.

"Mereka kini sdang giat menjalani latihan sebelum mula bertugas. Sementara itu, sembilan pegawai perubatan dari Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Terengganu juga tiba di Sabah pada hari ini.

"Dewan Bedah Hospital Semporna juga sudah dibuka semula sejak semalam (30 Oktober) dan telah melakukan pembedahan 'Lower Segment Caesarean Section and Bilateral Tubal Ligation' oleh Pakar Perubatan Obstetrik dan Ginekologi dari Hospital Tawau.

"Sebanyak dua kenderaan baharu juga ditempatkan di Hospital Semporna bagi meningkatkan kekuatan logistik dalam menangani wabak Covid-19," katanya.

Masidi berkata, jumlah keseluruhan katil bagi hospital Covid-19 dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Sabah, kini mempunyai 7,912 katil berikutan penambahan sebanyak 20 katil di Dewan Badminton Kompleks Sukan Keningau, hari ini.

Sementara itu katanya, berdasarkan laporan JKNS, jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini adalah sebanyak 529 kes.

"Tiada kematian dicatatkan pada hari ini manakala jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri ini sebanyak 15,048 kes. Pada hari ini, seramai 3,393 pesakit menerima rawatan iaitu 654 orang di hospital dan 2,739 orang di PKRC.

"Bilangan pesakit Covid-19 dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 71 orang manakala 16 orang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated)," katanya sambil menambah sebanyak 111,442 bakul makanan sudah diagihkan sehingga hari ini.

Katanya, seramai 13 orang pengunjung pusat hiburan dan seorang pemilik premis di pusat bandar raya dikompuan kerana beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 10:17 PM