Keadaan bangunan kediaman di Izmir, Turki rosak teruk akibat gempa bumi kuat melanda negara berkenaan. FOTO AFP
Keadaan bangunan kediaman di Izmir, Turki rosak teruk akibat gempa bumi kuat melanda negara berkenaan. FOTO AFP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Gempa bumi yang melanda Izmir di Turki tengah hari kelmarin (waktu tempatan), tidak menjejaskan rakyat Malaysia yang berada di wilayah itu.

Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata, berdasarkan komunikasi dengan wakil diaspora dan wakil pelajar Malaysia di Izmir, tiada rakyat Malaysia yang mengalami kemalangan jiwa, tercedera atau kehilangan tempat tinggal akibat gempa bumi yang berlaku.

Beliau berkata, ketika ini, ada 12 rakyat Malaysia berada di Izmir iaitu empat penuntut dan lapan lagi bekerja serta menetap di daerah itu.

"Berdasarkan rekod Kedutaan dan Konsulat Jeneral Malaysia sehingga Julai lalu terdapat kira-kira 390 rakyat Malaysia berada di Turki.

"Seramai 116 bekerja di negara ini dan 274 lagi adalah penuntut. Lebih 300 orang bertumpu di Istanbul dan selebihnya di bandar-bandar di sekitar Turki," katanya kepada BH melalui emel.

Tengku Mohd Dzaraif berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul akan terus berhubung dengan rakyat Malaysia di Izmir dan akan sentiasa memantau situasi di sana demi memastikan keselamatan mereka.

Katanya, pada masa ini, mereka semua dalam keadaan yang selamat.

"Buat masa ini, rakyat Malaysia di Izmir diminta agar sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan waspada dengan keadaan semasa.

"Mereka juga diminta mengikuti arahan oleh pihak pengurusan universiti atau asrama, pihak berkuasa tempatan dan badan bertanggungjawab di Izmir dari semasa ke semasa sekiranya berlaku kejadian gempa bumi susulan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, semua rakyat Malaysia yang berada di Izmir dinasihatkan untuk terus berkomunikasi dengan pegawai Kedutaan dan Konsulat Jeneral dan juga dengan wakil diaspora serta wakil pelajar untuk makluman dan memudahkan koordinasi sekiranya perlu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 9:25 PM