Adham (duduk, tengah) selepas menyempurnakan Majlis  Perasmian Magnetic Resonance (MRI) di Hospital Pakar Putra Batu Pahat. FOTO ESSA ABU YAMIN
Adham (duduk, tengah) selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Magnetic Resonance (MRI) di Hospital Pakar Putra Batu Pahat. FOTO ESSA ABU YAMIN
Oleh Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran dilaksanakan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Johor Bahru bermula semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Sri Dr Adham Baba berkata, ia perlu dilaksanakan kerana jumlah kes positif Covid-19 meningkat direkodkan di kawasan berkenaan.

"Kluster Meldrum, Kluster Bayu dan Kluster Kempas menyumbang kepada daerah Johor Bahru diisytiharkan zon merah.

"Sebanyak 42 kes direkodkan dalam Kluster Kempas, manakala Kluster Meldrum sebanyak enam kes dan Kluster Bayu lapan kes," katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Magnetic Resonance (MRI) di Hospital Pakar Putra Batu Pahat, hari ini.

Menurut Adham, di daerah Johor Bahru tidak akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat atau Diperketatkan (PKPD) dan hanya melaksanakannya di kawasan yang merekodkan jumlah kes yang tinggi sahaja seperti di ILKKM Johor Bahru.

Katanya, bagi perkembangan kes Covid-19 di Sabah, terdapat tanda pengurangan semakin jelas selepas kadar R-naught kebolehjangkitan di negeri itu menunjukkan penurunan hampir 1.0.

"Ini bermakna jangkitan hanya membabitkan seorang pesakit kepada seorang yang lain, bagaimanapun keadaan di Sabah masih belum pulih dan usaha berterusan memerangi wabak itu terus dipergiatkan.

"Kita cuba untuk turunkan kadar R-naught kebolehjangkitan kurang daripada satu dengan melaksanakan beberapa lagi tempat PKPD seperti di Tawau, Sandakan dan Penjara Payang selain PKPB di seluruh negeri Sabah.

"KKM yakin penularan di Sabah dapat dibendung secepat mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 8:11 PM