GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kemungkinan ada pegawai agensi keselamatan di utara tanah air terbabit dalam melindungi sindiket Macau Scam.

Ia susulan terdapat dakwaan pegawai kanan agensi penguatkuasaan itu menerima jutaan ringgit bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan ke atas sindiket terbabit.

Menurut sumber, SPRM sudah menerima maklumat dan ia termasuk dalam siasatan awal mereka selepas Goh Leong Yeong atau Alvin Goh, 32 dan Addy Kana ditahan kerana terbabit dalam pengubahan wang haram.

"Memang sudah termasuk dalam siasatan awal mengenai dakwaan pegawai agensi keselamatan di utara tanah air terbabit melindungi sindiket ini.

Cuma SPRM sedang meneliti dan melihat bukti atau isu berkaitan dakwaan itu sama ada ia benar berlaku atau tidak," katanya kepada Harian Metro.

Sumber berkata, setakat ini belum ada pegawai penguat kuasa dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan itu.

"Cuma siasatan meneliti sama ada ia didalangi sindiket sama atau lain," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya masih belum menerima laporan berhubung dakwaan itu dan tidak dapat dipastikan sama ada ia benar berlaku atau tidak.

"Kita akan menyiasat dakwaan ini," katanya.

Addy Kana dan Alvin ketika ini ditahan reman mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 oleh polis selepas dibebaskan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kegiatan mereka dalam sindiket perjudian dalam talian.

Harian Metro sebelum ini melaporkan taktik perdaya dan guna populariti artis untuk menjalankan kegiatan 'mencuci' duit haram melalui pelbagai usaha sama dan perniagaan sah.

Itu antara kegiatan segelintir individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan haram termasuk perjudian sebelum memerangkap segelintir artis tempatan dengan menawarkan bantuan modal untuk memulakan perniagaan.

Kaedah itu dianggap mampu mengaburi mata pihak berkuasa selain membolehkan keuntungan diperoleh hasil kerjasama pelbagai bentuk pelaburan yang disertai bersama.

Bagaimanapun, kegiatan mereka itu dikesan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM hasil risikan dan siasatan dijalankan sebelum beberapa individu ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 3:09 PM